Kuala Lumpur, 12 September 2025 – Penyanyi dan penulis lagu muda, Aiman Max, mengumumkan pelancaran rasmi label muzik miliknya, Aiman Max Entertainment, yang bertujuan menjadi wadah untuk mengetengahkan bakat baharu dalam industri muzik tempatan dan antarabangsa.
Penubuhan label ini seiring dengan perjalanan seni Aiman Max yang semakin berkembang, selepas kejayaan single pertamanya Fragile Heart (2024) dan pengumuman album sulung Max Play yang bakal dilancarkan pada 17 September 2025.
Menurut Aiman Max, penubuhan label ini bukan sahaja untuk kerjaya peribadinya, tetapi juga sebagai platform untuk menyokong artis bebas:
“Saya percaya ramai anak muda berbakat yang perlukan ruang untuk didengari. Aiman Max Entertainment akan menjadi tempat untuk mereka berkarya dengan lebih bebas, jujur, dan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan media.
Label ini akan memberi fokus kepada genre pop, lo-fi, electro-pop, dan alternatif, selain terbuka untuk eksperimen muzik kontemporari.
Sebagai langkah awal, album Max Play akan diterbitkan di bawah label ini dan diedarkan melalui platform digital termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.
Pelancaran Aiman Max Entertainment dilihat sebagai satu langkah penting dalam perjalanan seni Aiman Max, sekaligus menambah warna baharu dalam landskap muzik Malaysia.